K’jaan digesa pertimbang keputusan tolak pelarian Rohingya

37

Beberapa NGO menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan keputusan untuk tidak lagi menerima pelarian Rohingya ke negara ini.

NGO hak migran Tenaganita berkata sangat penting bagi Malaysia untuk membincangkan perkara tersebut dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan penyelesaian sementara.

Pengarah eksekutifnya, Glorene A Das juga merayu supaya kerajaan tidak menghantar orang Rohingya pulang ke Myanmar atau ke kem pelarian di Bangladesh kerana pelarian tersebut akan sekali lagi terperangkap dalam modus operandi yang melibatkan pemerdagangan manusia.

“Ya, sekarang memang ada pihak yang menggesa untuk penempatan semula mereka (etnik Rohingya), tetapi dalam keadaan pandemik kini ia bakal menyukarkan proses tersebut.

“Jadi penting buat kerajaan untuk bekerjasama dengan UNHCR bagi mendapatkan penyelesaian sementara,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Selain itu, Glorene turut mempersoalkan mengapa kerajaan Malaysia tidak mengadakan perbincangan bersama Myanmar dan mendakwa Asean telah ‘menutup mata’ atas tindakan zalim negara itu.

“Mengapa kerajaan Malaysia tidak bercakap dengan kerajaan Myanmar tentang tanggungjawab mereka terhadap orang Rohingya dan di mana Asean?

“Asean seperti tutup mata tentang isu kekejaman Myanmar terhadap Rohingya.

“[…] pada masa yang mencabar kini, kita harus tetap bersatu padu dan bantu orang Rohingya dari memusnahkan mereka melalui tindakan kita,” katanya lagi.

Laman: 1 2 3

Promot Content

close