Kebuntuan calon PM: Dr M cari jalan keluar secara terhormat?

28

Pada pilihan raya umum lalu, Dr Mahathir Mohamad melakukan perkara mustahil.

Beliau memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menumbangkan kerajaan berusia enam dekad yang diterajuinya selama 22 tahun sebelum menjadi perdana menteri kali kedua pada usia 93 tahun.

Usahanya menubuhkan kerajaan perpaduan gagal apabila cadangan itu ditolak oleh kedua-dua belah pihak.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuk Bersatu yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Umno, BN dan PAS yang disokong GPS Sarawak, memegang kuasa dengan kelebihan tipis dua kerusi.

Manakala PH yang kini digelar sebagai Pakatan Harapan (PH) Plus kerana disertai kumpulan Mahathir dan Parti Warisan, mendakwa memiliki sokongan untuk kembali menjadi kerajaan.

Namun, ada satu masalah yang harus diselesaikan sebelum PH Plus dapat melaksanakan rancangannya – siapa yang akan menjadi calon perdana menteri?

Adakah Mahathir akan menjadi perdana menteri kali ketiga pada usia 95 tahun, atau Anwar Ibrahim, 72 yang hanya tinggal sebelah kaki sahaja untuk melangkah ke jawatan itu lebih dua dekad lalu?

Berikutan pertemuan PH Plus pada Selasa lalu, Marzuki Yahya dari Bersatu yang berpihak kepada Mahathir mendakwa kata sepakat telah dicapai mengenai calon perdana menteri.

Tetapi kenyataan bersama kemudian mengatakan keputusan mengenai perkara-perkara yang belum diputuskan, akan dimuktamadkan hujung minggu ini.

Laman: 1 2 3

Promot Content

close