KDN membatalkan semua MyKad haram yang dijual kepada warga China

36

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan semua MyKad yang dijual kepada warganegara China dalam kes terbaru di Pulau Pinang.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata tindakan serupa telah diambil terhadap mana-mana kes penjualan MyKad haram yang berjaya dikesan pihak berkuasa.

“Mana-mana pemilikan MyKad yang didapati dari JPN dengan menerusi cara salah, akan dibatalkan tanpa kompromi. Sesiapa yang terlibat dalam aktiviti ini mesti dikenakan tindakan berat tanpa pilih kasih.

“Kementerian telah memberikan kuasa penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan menyeluruh sehingga pihak yang didapati bersalah dapat didakwa,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) yang ingin tahu sama ada kerajaan telah membatalkan MyKad yang dirampas dari warga China di Pulau Pinang baru-baru ini.

Penolong pengarah JPN Pulau Pinang sebelum ini ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket menjual MyKad kepada warga asing di negeri itu.

Berikutan kejadian itu, beberapa pegawai dan penjawat awam di Pulau Pinang dan Putrajaya juga ditangkap dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana disyaki terlibat dengan kes berkenaan.

Sementara itu Mohd Azis berkata, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima 81,133 permohonan kewarganegaraan dalam tempoh lima tahun dari 2014 hingga 30 September 2019.

Berdasarkan dari jumlah itu, 13,151 permohonan diberikan kewarganegaraan Malaysia, manakala 57,236 permohonan sedang diproses dan 10,746 permohonan ditolak,” katanya menjawab pertanyaan soal selidik Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang bertanyakan mengenai jumlah kewarganegaraan yang telah dimasukkan, diproses dan diluluskan serta ditolak dari tahun 2014 hingga kini.

Laman: 1 2

Promot Content

close